Kenyataan Akhbar Siti Kasim

P (JAWI) v Siti Zabedah Kasim

Selamat pagi dan salam sejahtera semua.

Pertama, saya ingin mengucapkan syukur kepada Allah subhana wa ta’ala kerana mengizinkan kemenangan ini. Saya juga ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada tuan majistret yang telah memberi keputusan yang tepat.

Kedua, Allah telah mengizinkan kemenangan ini oleh kerana usaha dan pengorbanan peguam utama dan juga salah seorang rakan karib saya, Puan Suzana Norlihan yang telah bertungkus lumus memberi masa beliau untuk membela saya. Tidak lupa juga kepada peguam raj yang telah membantu peguam suzana. Terima kasih juga kepada wakil-wakil peguam dari Bar Council yang diketuai oleh Honey Tan. Kepada mereka semua, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga dari dalam lubuk hati saya.

Kemenangan ini menunjukkan bahawa dari mula lagi saya tidak sepatutnya dituduh di mahkamah yang mulia ini. Saksi juga telah mengatakan bahawa polis telah mendapat arahan dari atas untuk menuduh saya di mahkamah. Saya hanya menjalankan tugas sebagai seorang peguam sewaktu acara waktu makan malam tersebut. Orang mesti bertanya mengapa mesti ada peguam waktu acara makan malam. Ini adalah kerana komuniti transgender selalu di ganggu oleh pihak-pihak berkuasa walau pun mereka hanya menjalani kehidupan seperti orang lain juga.

Oleh kerana penuduhan yang tidak berasas ini, saya terpaksa menjalani tekanan yang hebat dari segi mental, masa, kewangan dan persepsi dari orang ramai.

Telah terbukti di dalam mahkamah yang mulia ini, saksi-saksi dari majlis agama wilayah sanggup berdusta dan memfitnah sewaktu memberi keterangan bersumpah di dalam mahkamah. Insiden yang tidak terjadi, di ada-adakan oleh saksi dari jawi. Saksi ini mengatakan bahawa salah seorang mak nyah telah mendedahkan buah dada beliau kepada saksi. Ini adalah fitnah semata-mata dari seorang yang kononnya ustazah. Apabila kami kaji video mak nyah tersebut, secara terang kejadian tersebut tidak mungkin boleh terjadi dan peguam Suzana telah berjaya membuktikan bahawa ini adalah suatu penipuan semata-mata.

Pegawai pemerintah dan banyak pemimpin agama telah memacu transphobia dan homofobia selama bertahun-tahun kepada rakyat malaysia terutamanya orang melayu. Mereka mengatakan bahawa kumpulan transgender ini adalah musuh Islam, bersama dengan liberalisme dan pluralisme.

Pegawai-pegawai dari jabatan agama sering menangkap wanita transgender dan melakukan berbagai pelanggaran, termasuk serangan, pemerasan, dan pelanggaran hak privasi mereka. Pegawai jabatan agama telah menyerang wanita transgender secara fizikal dan seksual semasa penangkapan atau dalam tahanan, dan mempermalukan mereka dengan mengarak mereka di hadapan media. Ini bukan tuduhan melulu tetapi datang dari repot Human Rights Watch dan pihak komuniti transgender sendiri. Salah satu akibatnya ialah orang trans kehilangan hak paling asas dan semakin banyak masalah.

Individu transgender adalah manusia seperti warganegara lain dan mereka berhak mendapat hak asasi manusia untuk hidup dalam masyarakat.

Islam tidak bercanggah dengan hak asasi manusia. Islam sendiri mengundang hak asasi universal untuk manusia untuk diperhatikan di bawah semua keadaan. Quran sangat jelas di dalam hal ini:
Surah Al-Maidah – ayat [5:8]
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada allah, sesungguhnya Allah maha mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”

Saya berharap dengan kes ini pihak berkuasa akan mendapat ikhtibar:

  1. Bahawa aturan undang-undang dan badan kehakiman akan tegas menentang segala penyalahgunaan pihak berkuasa tanpa rasa takut atau pilih kasih.
  2. Bahawa pihak berkuasa, sama ada agama, pentadbiran atau politik terpaksa mengubah cara mereka berurusan dengan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama, jantina atau status.

Penyalahgunaan kuasa terhadap kebebasan sivil dan hak rakyat malaysia mesti diberhentikan dan tidak lagi ditoleransi. Orang transgender adalah manusia seperti anda dan saya. Mereka berhak untuk hidup dan menjalani kehidupan dengan aman tanpa rasa takut, paksaan atau kebebasan yang diinjak oleh pihak berkuasa, agama atau sebagainya.

Sudah tiba masanya pihak berkuasa agama dibaharui sehingga mereka mengikuti nilai-nilai al-Quran. Mana-mana orang awam mempunyai hak untuk bertanya di bawah bidang kuasa apa dan sebab-sebab pihak berkuasa menggunakan kuasa mereka ke atas kita sebagai rakyat malaysia. Saya amat berharap semua orang politik dan keagamaan tidak menggunakan isu transgender, lgbt, liberalisme, pluralisme dan sebagainya untuk menutup keghairahan mereka untuk meraih kuasa.

Siti Kasim
21.08.20

Leave a Reply

Close Menu
×
×

Cart