NEGARA PERLUKAN PERUBAHAN, BUKAN PROPAGANDA DAN KEPALSUAN YANG BERTERUSAN

MAJU secara jelas menegaskan bahawa kami tidak akan sekali-kali berganjak dari segi prinsip. Kami bukan pak turut kepada mereka di tampuk kuasa dan tidak pula mencari populariti di kalangan majoriti, lebih-lebih lagi jika ia mengorbankan objektif kami untuk memperjuangkan hak setiap warga Malaysia secara adil dan saksama. Nilai liberal yang kami perjuangkan bukannya untuk bertanam tebu di pinggir bibir. Kami percaya bahawa untuk menjadi ejen perubahan yang sebenar, kami harus berani berkata benar dan tidak sekali-kali tunduk kepada desakan demi meraih populariti.

Sebarang naratif dan pendapat yang dibina atas analysis yang salah dan objektif yang menghalang pembangunan Malaysia sebagai sebuah negara yang progresif harus dilawan habis-habisan.

MAJU akan sentiasa tampil membela sesiapa sahaja yang ditindas oleh pihak berkuasa. Hak mana-mana individu untuk bersuara dan mengkritik akan sentiasa dipertahankan tanpa mengira darjat atau kedudukan pihak yang dikritik. Rakyat berhak untuk mengkritik kerajaan yang berbuat salah berdasarkan hak-hak yang termaktub dalam undang-undang, dan tidak boleh sekali-kali diugut agar diam. MAJU akan berada di barisan hadapan untuk mempertahankan hak mereka yang ditindas. Ini adalah hak yang tidak sepatutnya dipersoalkan dari apa jua segi, dan MAJU akan tegas menegakkan prinsip ini.

MAJU juga meyokong hak rakyat Malaysia termasuklah masyarakat sivil untuk menuntut janji-janji yang diberikan oleh ahli politik yang mereka pilih secara demokratik, tidak kira sama ada tertulis dalam manifesto atau ditabur di kempen-kempen.

Tuduhan bahawa kerajaan PH telah jatuh akibat masyarakat sivil menuntut agar janji-janji ini ditunaikan adalah mengejutkan dan mencerminkan hipokrasi di tahap tertinggi. Mereka dipilih di peti undi untuk membawa perubahan, jadi tidak salah untuk rakyat meminta apa yang dijanjikan. Wajarkah ini dikatakan ‘tidak sabar menuntut perubahan’? Kalau bukan daripada wakil rakyat pilihan mereka, daripada siapa pula harus dipinta? Kalau bukan sekarang, bila lagi? Kemudian dikata lagi ‘bising’ dan ‘kurang beradab’, kepada siapa?

Tiada apa yang kurang ajar dengan menagih janji. Rakyat dijanjikan sesuatu, maka mereka berhak mendapatnya, tidak kira secara senyap atau secara terbuka. Jika kerajaan buat-buat tidak dengar, salahkah jika rakyat bising sedikit? Malah rakyat sebenarnya berhak untuk bising atas apa jua sebab.

Akan tetapi, rakyat yang menuntut hak mereka dipersalahkan manakala golongan pelampau dan rasis pula diangkat. Di mana pula ‘adab’ apabila golongan seperti ini dijulang-julang sedangkan mereka tidak pernah segan menabur penipuan dan hasutan? Adakah kerana mereka ‘tuan’, maka dilayan dengan penuh keistimewaan?

Alasan bahawa “para aktivis menuntut perubahan dengan bising dan tidak beradab tanpa mengambil kira sensitiviti orang Melayu dan Islam dan nilai-nila konservatif mereka” ini adalah amat tahyul. Masyarakat sivil telah banyak berkorban untuk menjayakan agenda perubahan dan rakyat telah mengangkat perubahan ini di peti undi. Kenapa pula golongan konservatif Melayu dan Islam yang tidak menyokong PH dan tidak dipilih oleh rakyat pula disembah dan dipatuhi?

Kalah atau menang pilihanraya datang dengan tanggungjawab, terutamanya bagi pihak yang menang. Janji-janji yang membawa kemenangan itu perlu ditunaikan. Namun begitu, keadaan menjadi terbalik apabila golongan pelampau agama dan rasis dan penyokong fanatik mereka pula yang diangkat menjadi tuan. Mereka yang menyokong kerajaan disuruh senyap dan menjadi anak tiri.

Orang-orang Melayu, bukan Melayu, Sabah dan Sarawak yang liberal dan progresif mempunyai hak yang sama rata sebagai rakyat Malaysia. Tiada yang patut menjadi anak tiri, tiada yang patut disumbat mulutnya untuk menjaga hati dan sensitiviti golongan pelampau dan rasis.

Kamilah sebenarnya yang meletakkan PH di tampuk kuasa, tapi kami tidak sekali-kali berkomplot menjatuhkannya. Sesiapa yang berkata sebaliknya hanyalah menjadi pak turut kepada golongan pelampau dan rasis dan tidak sepatutnya dilayan.

Propaganda untuk menyalahkan rakyat dan masyarakat sivil atas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pula amat tersusun dan dijual dengan bersungguh-sungguh kepada awam. Menuntut janji tidak salah dan tidak kurang ajar, dan tidak pernah timbul istilah terburu-buru untuk berbuat demikian. Tuduhan bahawa perbuatan rakyat menagih janji telah memaksa ahli Parlimen menjadi katak dan melompat-lompat amatlah tidak logik. MAJU tidaklah bodoh untuk menelan bulat-bulat fitnah ini.

Rakyat dan masyarakat sivil yang berfikiran waras tidak seharusnya menjadi kambing hitam. Ini tidak perlu dipertikai. Jika kerajaan jatuh kerana kehilangan majoriti di Parlimen, itu semua angkara wakil rakyat! Kenapa pula rakyat dipersalahkan?

Kejatuhan PH sebenarnya disebabkan oleh percakaran dan perebutan kuasa sesama pemimpin mereka, terutamanya pemimpin Melayu. Kebanyakannya pula tidak pandai bekerja dan terlalu obses untuk menjadi Menteri atau Perdana Menteri. Ada yang hanya sibuk mahu mengukuhkan puak masing-masing dalam parti dan kerajaan. Akibatnya, urusan negara terabai dan agenda perubahan tercicir. ITU SATU-SATUNYA SEBAB, TIADA YANG LAIN.

Perbuatan katak-katak yang melompat ke sana sini bukan salah rakyat dan masyarakat sivil. Perbuatan jijik dan kegagalan mereka untuk menunaikan tanggungjawab sebenarnya lahir daripada ketamakan kuasa politikus itu sendiri. Namun begitu, macai-macai yang ada kepentingan politik masing-masing pula tidak segan silu menyalahkan rakyat dan masyarakat sivil yang dikatakan gopoh menagih janji-janji perubahan. Ini adalah ketololan yang nyata.

MAJU amat terkejut dan tidak dapat menerima cadangan untuk kompromi terhadap mereka yang menentang perubahan, ataupun lebai-lebai ini boleh dibeli dengan jawatan kerajaan dan faedah-faedah yang datang bersekali. Bukankah ini korupsi dan menambah campur tangan agama dalan pemerintahan? Sudah 35 tahun perpaduan dan keharmonian masyarakat kita yang berbilang kaum dan agama dirobek-robek, adakah kita tidak ambil sebarang iktibar? Sekarang media sosial juga ingin ditapis dan dikawal, apa jenis masyarakat yang kita sebenarnya mahu bina? Sepanjang sejarah manusia, hanya ada satu kesudahan apabila ruang awam yang menjadi medan perdebatan idea ini dikekang. Kebebasan dan hak sivil rakyat pasti akan dirampas.

MAJU menggesa agar rakyat menolak alasan-alasan yang berupa pembohongan dan propaganda yang digunakan oleh ahli politik untuk menutup kesalahan dan kagagalan masing-masing untuk menunaikan janji. Macai-macai juga harus berhenti menjadi pak turut dan mengulang-ulang propaganda yang amatlah menghina akal waras rakyat dan masyarakat sivil. Kejatuhan kerajaan PH dan kemusnahan harapan yang dicita sejak 9 Mei 2018 sebenarnya disebabkan oleh politikus dan parti mereka yang lebih mementingkan kuasa masing-masing. Kenapa rakyat pula harus dipersalahkan? Cukup-cukuplah.

MAJU dan NGO-NGO lain akan bekerjasama untuk menyingkirkan anasir-anasir ini secepat mungkin sebelum pilihanraya umum yang seterusnya melalui gerakan ‘Gerak Independent’. Kami bercadang untuk mengenalpasti sekumpulan calon ahli Parlimen bebas yang berkualiti, berintegriti tinggi dan progresif, yang akan dapat mengubah arus dan membawa perubahan sebenar di Malaysia. Maklumat lanjut gerak kerja dan penggunaan dana ada di laman web pengumpulan dana kami. Rakyat telahpun menyokong perubahan secara besar-besaran sebelum ini. Kita hanya perlu jayakannya sekali dengan menyokong calon-calon yang benar-benar komited kepada rakyat, bukannya mereka yang lebih mengutamakan kepentingan politik peribadi dan tuan mereka yang sempit itu.

AYUH KITA JAYAKAN! SOKONGLAH GERAK INDEPENDENT

https://www.sedunia.me/campaigns/gerak-independents/about

Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on whatsapp
Share on telegram